Monday, February 2, 2015

Soalan : Pembentukan Malaysia telah memberi pelbagai faedah kepada Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Bincangkan kejayaan yang dicapai setelah lebih 50 tahun pembentukan Malaysia.


Pendahuluan


       Tarikh 31 Ogos 1957 amat bermakna dan memberikan kesan yang amat mendalam kepada pembangunan di negara ini dari setiap sudut ekonomi, politik dan sosial. Pada waktu tersebut Negara hanya terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu. Negara yang berdaulat lahir pada tarikh tersebut tidaklah sama dengan negara yang wujud pada hari ini. Hari ini, Malaysia meliputi Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Suatu perikatan wilayah yang lebih kompleks tercipta enam tahun selepas tahun 1957 dengan membentuk sebuah negara dipanggil Malaysia dan kekal hingga kini. Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957 dan setelah lebih 400 tahun dijajah oleh pelbagai kuasa luar seperti Eropah dan Asia, namun banyak usaha dan formula yang harus dicapai untuk penyatuan dan kemakmuran Tanah Melayu. Ternyata, kemerdekaan yang diperolehi oleh Tanah Melayu dicapai dengan cara keamanan, melalui rundingan meja bulat tidak seperti negara jajahan lain.

Objektif Kajian

Objektif kajian ini dijalankan untuk mengkaji pembentukan Malaysia kepada Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

1. Mengenalpasti sebab Pembentukan Malaysia
2. Mengkaji proses Pembentukan Malaysia
3. Mengkaji faedah yang diperolehi hasil daripada Pembentukan Malaysia
4. Mengenalpasti Pembentukan Malaysia dalam pelbagai bidang

Sebab-sebab Pembentukan Malaysia


1. Mengelak Ancaman dan Pengaruh Komunis

Sebab utama penubuhan Malaysia ialah untuk menentang kegiatan komunis yang kian bertambah di Singapura dan situasi politik pada tahun 1950-an. Ejen-ejen komunis telah meresap masuk ke sekolah cina dan kesatuan sekerja. Pada tahun 1954, komunis telah menganjurkan satu permogokan di sebuah syarikat bas. Mogok ini merebak menadi rusuhan. Selain itu, Parti Tindakan Rakyat (People's Action Party- PAP) di bawah pimpinan Lee Kuan Yew yang memerintah Singaura waktu itu sedang mengalami kemerosotan akibat komunis yang merampas pucuk pomponan PAP. Fenomena ini dapat dilihat apabila PAP kalah dalam pilihan raya kecil di kawasan Hong Lim kepada Ong Eng Guan dari Parti Rakyat Singapura (United People's Party-UPP) pada bulan Mei 1961 dan pilihan raya di kawasan Anson kepada Parti Buruh pada bulan Julai 1961. Akibatnya, Lee Kuan Yew mengusir golongan berhaluan kiri dari PAP. Pengaruh komunis turutu berkembang sehingga satu parti berhaluan kiri iaitu Barisan Sosialis dibawah pimpinan Lim Chun Siong ditubuhkan. Keadaan ini telah membimbangkan Persekutuan Tanah Melayu dari segi urusan politik dan ekonomi sekiranya PAP digulungkan. Tunku Abdul Rahman bimbang komunis meresap masuk ke Tanah Melayu. Diharapkan dengan gagasan Malaysia, hasrat komunis menguasai Singapura gagal dan seterusnya dapat menyekat pengaruh mereka.

2. Memberi kemerdekaan kepada Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura

Melalui penubuhan Persekutuan Malaysia, negeri-negeri seperti Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura akan mendapat kemerdekaan yang lebih awal daripada yang dijangkakan. Ini memandangkan negara-negara berkenaan masih lagi berada di bawah penjajahan British sewaktu cadangan ini ditimbulkan. Dalam hal ini, Sabah dan Sarawak diletakkan dalam status cadangan negeri jajahan manakala Singapura dan Brunei diletakkan sebagai negeri naugan, Pada tahun 1951, Liga Belia Demokratik Cina Seberang Laut yang berhaluan komunis ditubuhkan tetapi dibubarkan semasa Darurat. Walau bagaimanapun, satu pertubuhan komunis sulit iaitu Persatuan Belia Maju Sarawak telah brgerak di kalangan kesatuan sekeria, pelajar dan petani. Mereka menghasut masyarakat Cina menentang British. Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) telah dipengaruhi komunis. Lalu, kerajaan British melancarkan operasi pisang untuk menyekat pengaruh komunis dalam  SUPP tetapi gagal. Diharapkan melalui gagasan ini, kestabilan politik yang diperolehi dapat menentang ancaman komunis. Tunku Abdul Rahman percaya dengan membawa masuk Sabah, Sarawak ke dalam Malaysia akan lebih memudahkan dan mempercepatkan kemerdekaan dua wilayah ini. Di samping itu, kaum bumiputera boleh menikmati layanan yang lebih baik apabila menyertai Persekutuan sebagaimana yang dinikmati oleh orang Melayu di Persekutuan Tanah Melayu.

3. Kemajuan ekonomi bersama

Melalui Persekutuan Malaysia, negara-negara anggota akan dapat mengadakan kerjasama ekonomi dan perdagangan untuk faedah bersama. Secara tidak langsung, negara-negara anggota yang kaya dengan sumber ekonomi boleh membantu negara-negara anggota yang miskin dan kekurangan sumber ekonomi. Menurut Tunku, apa yang penting melalui Persekutuan Malaysia ialah ia dapat membentu mempertingkatkan pembangunan ekonomi. Ini kerana Sabah dan Sarawak ialah negeri yang masih mundur manakala Tanah Melayu, Singapura dan Brunei ialah negeri-negeri yang kaya. Dengan ini, kekayaan di negeri-negeri yang kaya akan dipindahkan ke negeri-negeri yang mundur untuk membiayai projek pembangunan. Hal in demikian kerana Tanah Melayu jaya dengan sumber bahan mentah seperti bijih timah, manakala Brunei pula kaya dengan sumber minyaknya. Pelabuhan Singapura pula akan lebih selamat sekiranya menyertai Persekutuan Malaysia.

4. Mengimbangi penduduk

Penubuhan Malaysia juga bertujuan mengimbangi jumlah penduduk. Tunku Abdul Rahman menjangkakan Sabah, Sarawak dan Brunei kalau digabungkan dengan Tanah Melayu akan membawa kepada faedah sosial. Penggabungan Tanah Melayu dengan Singapura menimbulkan masalah ketidakseimbangan kaum. Hal ini di sebabkan tiga per empat daripada penduduk Singapura berbangsa Cina. Kemasukan Sbah, Sarawak dan Brunei akan mengimbangi kadar kaum-kaum kerana 70% daripada penduduk Borneo Utara ialah Bumiputera.

5. Mepercepatkan proses kemerdekaan

Penubuhan gagasan Malaysia bertujuan mempercepatkan proses kemerdekaan bagi Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura. Malaysia bertujuan mempercepatkan proses kemerdekaan bagi Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura. British berjanji akan memberikan kemerdekaan yang lebih awal sekiranya Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura bergabung dengan Tanah Melayu bagi membentuk Malaysia. Penggabungan ini juga akan menamatkan penjajahan British di rantau ini dan menjamin kedaulatan dan keselamatan wilayah-wilayah itu daripada ancaman kuasa luar. Pemberian kemerdekaan yang lebih cepat dengan mengelakkan hasrat komunis untuk bertapak di Tanah Melayu dan di negeri-negeri yang terlibat. Sekiranya negeri tersebut tidak diberi kemerdekaan, British bimbang gagasan Malaysia akan dipengaruhi oleh komunis dan kepentingan ekonomi dan sosial pada masa akan datang akan hilang. Selain itu, British juga bimbang tentang keselamatan pelabuhan British di Asia Tenggara. British juga bimbang akan kuasa luar yang ingin menakluki Brunei, Sabah, Sarawak dan Singapura.

6. Menjaga kepentingan kaum bumiputera

Pembentukan Pesekutuan yang terdiri daripada Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura juga adalah untuk menjaga kepentingan dan kedudukan kaum bumiputera. Menurut Tunku Abdul Rahman, gagasan pembentukan Malaysia perlu menggabungkan wilayah-wilayah Borneo seperti Sabah, Sarawak dan Brunei bukan hanya terhad kepada Tanah Melayu dan Singapura sahaja. Jika Tanah Melayu dan Singapura sahaja bercantum, ini akan menghilangkan majoriti penduduk Melayu. Ini kerana Singapura mempunyai 80% penduduk bukan Melayu dan apabila bercanrum dengan penduduk Persekutuan Tanah Melayu, penduduk bukan Melayu akan menjadi golongan terbesar. Percantuman antara Tanah Melayu dengan Singapura sahaja akan menjadikan peratusan masyarakat Cina menjadi 43.5% sementara orang Melayu menjadi 43%. Ini kerana anggaran peratusan penduduk Tanah Melayu pada tahun 1960, adalah kira-kira 50% dan 36.9% orang Cina. Justeru, apabila penduduk Sabah dan Sarawak diambil kira, bilangan kaum bumiputera termasuk orang Melayu akan menjadi 46.3%, sementara orang Cina menjadi 42.4%. Ini bermaksud, kemasukan Sabah dan Sarawak membolehkan kumpulan orang Melayu dan bumiputera kekal sebagai kumpulan terbesar.


Proses Pembentukan Malaysia

Proses perbincangan dan perundingan ke arah pembentukan Malaysia ini sebenarnya sangat kompleks. Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan dan diatasi sebelum cadangan ini dapat direalisasikan. Beberapa tindakan juga perlu diambil bagi memastikan pembentukan ini memuaskan hati semua pihak. Cadangan Pembentukan Malaysia menimbulkan berbagai-bagai reaksi. Ini terjadi akibat perkembangan politik tempatan dan perubahan yang berlaku di negeri anggota yang lain. Tidak dinafikan bahawa dari semenjak awal lagi ada pihak dan individu tertentu yang menentang.

Antara proses-proses pembentukan Malaysia ialah Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (JPPM), Suruhanjaya Cobbold, Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK), Referendum Singapura dan Pengisytiharan Malaysia.


Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (JPPM)

JPPM ditubuhkan pada 23 Julai pada tahun 1961. Ia dipengerusi oleh Donald Stephen (Anggota Majlis Undangan Sabah). Antara anggotanya ialah Tunku Abdul Rahman (Tanah Melayu), Lee Kuan Yew (Singapura), Dato' Mustapha Dato' Harun (Sabah), Temneggung Jugah Anak Barieng (Sarawak) dan Dato' Setia Pangeran Ali (Brunei).

Tujuan JPPM ditubuhkan ialah:-

  • Memberitahu mengenai konsep Malaysia kepada orang ramai (Sabah dan Sarawak)
  • Mengumpulkan sambutan mereka terhadap Malaysia
  • Menyediakan memorandum mengenai cara pembentukan Malaysia

JPPM telah memberi peluang kepada pemimpin Sabah dan Sarawak mengemukakan pandangan mengenai Gagasan Malaysia. JPPM telah mengadakan 4 mesyuarat di Kota Kinabalu (21 Ogos 1961), Kuching (18 Disember 1961), Kuala Lumpur (6 Januari 1962) dan Singapura (1 Februari 1962).


Hasil daripada rundingan yang dijalankan gagasan penubuhan Malaysia semakin mendapat sokongan. Sarawak mengeluarkan kertas putih mengenai Malaysia pada 4 Januari 1962 dan Sabah pada 31 Januari 1962. Kemudian, JPPM akhirnya berjaya menyusun satu memorandum yang ditandatangani oleh wakil-wakil, dan kemudian dihantar kepada Suruhanjaya Cobbold pada 23 Februari 1962.
Antara isi kandungan memorandum ini ialah:-

  1. Perlembagaan Tanah Melayu 1957 menjadi asas perlembagaan Malaysia.
  2. Kerajaan Persekutuan berkuasa dalam hubungan luar, pertahanan dan keselamatan.
  3. Islam- agama rasmi tetapi rakyat bebas beragama.
  4. Bahasa Melayu- bahasa kebangsaan tetapi bahasa lain asih boleh digunakan.
  5. Hak istimewa seperti orang Melayu diberi kepada rakyat pribumi Sabah dan Sarawak.
  6. Sabah, Sarawak berhak mengawal imigresennya sendiri.
  7. Perwakilan Parlimen berasaskan jumlah penduduk dan jumlah luas kawasan.
  8. Memorandum ini disokong oleh rakyat Sabah, Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu.


Suruhanjaya Cobbold

Suruhanjaya Cobbold ditubuhkan pada Januari 1962. Ia dipengerusikan oleh Lord Cobbold (Bekas Gabenor Bank of England). Ahli-ahlinya terdiri daripada Sir Anthony Abel dan Sir David Watherston iaitu wakil British dan Muhammad Ghazalie Shafie dan Dato' Wong Pow Nee iaitu wakil Tanah Melayu. Suruhanjaya ini ditubuhkan hasil rundingan Tunku ke London pada Oktober 1961. Rundingan ini berlangsung dari 21-23 November 1961.

Antara tugas utama suruhanjaya ini ialah:-

  • Meninjau pandangan rakyat Sabah dan Sarawak mengenai Malaysia.
  • Membuat syor-syor perlembagaan

Suruhanjaya ini menjalankan tugasnya dari 19 Februari sehingga 18 April 1962. Suruhanjya Cobbold telah mengadakan 50 perjumpaan dengan 690 kumpulan orang ramai diadakan dan 2000 atau lebih memorandu telah diterima. Pada 18 April 1962, laporan disiapkan dan diserahkan kepada Kerajaan Tanah Melayu dan British pada Jun 1962. Pada 1 Ogos 1962 mengesahkan bahawa 80% daripada rakyat Sabah dan Sarawak menyokong Gagasan Malaysia. Selain itu, laporan ini diumumkan mengenai pandangan rakyat Sabah dan Sarawak:-

  • 1/3 menyokong kuat Malaysia
  • 1/3 menyokong dengan syarat
  • 1/3 hendak merdeka dahulu sebelum menyertai Malaysia

Dengan itu, suruhanjaya ini turut menyokong gagasan Malaysia da mengesyorkan syor-syor Perlembagaan Malaysia seperti di bawah:-

  • Nama persekutuan baru - Malaysia.
  • Perlembagaan Tanah Melayu 1957 menjadi asas Pelembagaan Malaysia.
  • Kedudukan istimewa kaum pribumi Sabah dan Sarawak dijamin.
  • Sabah dan Sarawak berhak memilih Ketua Negeri sendiri.
  • Penduduk pribumi Sabah dan Sarawak dibenarkan berkhidmat dalam perkhidmatan awam secepat mungkin.
  • Dasar pendidikan, agama, imigresen, perwakilan Parlimen, kedudukan bumiputera, kewangan, kewarganegeraan dan perlembagaan negeri di Sabah dan Sarawak ditentukan oleh Majlis Undangan Negeri masing-masing.
  • Bahasa Melayu- bahasa kebangsaan. Sabah dan Sarawak dibenarkan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasami sehingga DUN masing- masing membuat keputusan.

Hampir semua syor diterima oleh Persekutuan Tanah Melayu dan British dan pada 1 Ogos 1962. Persekutuan Malaysia diumumkan dan Malaysia akan ditubuhkan pada 31 Ogos 1963. Jawatankuasa Antara Kerajaan akan ditubuhkan bagi merangka Perlembagaan Malaysia.


Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK)

JAK ditubuhkan pada Ogos 1962 untuk merangka Perlembagaan Malaysia yang diketuai oleh Lord Landsdowne yang merupakan Menteri Hal-ehwal Tanah Jajahan British sebagai Pengerusi. Tun Abdul Razak Hussein sebagai Timbalan Pengerusi, wakil-wakil kerajaan British dan wakil-wakil negeri Sarawak, Sabah dan Singapura.
Wakil-wakil Sabah dari Parti Perikatan Sabah telah mengemukakan satu memorandum yang mengandungi 20 perkara kepada JAK untuk melindungi hak dan kepentingan rakyat Sabah. Pemimpin-pemimpin Sarawak tidak mengemukakan sebarang tuntutan tetapi mereka bersetuju dengan perkara yang terkandung dalam perkara 20. Antara 20 perkara yang dikemukakan ialah:-

  • Agama Islam diterima sebagai agama rasmi Persekutuan kecuali di Sabah.
  • Bahasa Inggeris menjadi bahasa rasmi di Sabah tetapi menerima bahasa Melayu sebagau bahasa Kebangsaan.
  • Imigresen (kemasukan orang asing) adalah di bawah kuasa kerajaan negeri Sabah.
  • Sistem pendidikan Sabah dikekalkan.
  • Perwakilan dalam Parlimen hendaklah mengambil kira keluasan negeri di samping bilangan penduduk.

JAK mengeluarkan laporannya pada 27 Februari 1963. Laporan ini dibentangkan di Majlis Negeri Sarawak pada 8 Mac 1963 dan Sabah pada 13 Mac 1963. Kedua-dua Majlis ini telah menerima dan meluluskan Laporan JAK. Seterusnya laporan JA telah diterima dan diluluskan oleh Parlimen Tanah Melayu dan menjadi Akta Malaysia 1963. Laporan ini telah menjadi asas kepada Perlembagaan Sabah dan Sarawak. Laporan itu memperlihatkan sikap tolak ansur dan persefahaman di antara pemimpin-pemimpin Sarawak dan Sabah dalam mencapai persetujuan. Laporan itu menjamin:-


  • Peningkatan taraf ekonomi, sosial dan politik rakyat Sabah dan Sarawak.
  • Hak dan kepentingan rakyat kedua-dua negeri itu.
  • Melindungi Sabah dan Sarawak dari sebarang kekuasaan penjajah.
Berdasarkan kepada Laporan JAK itu, Perjanjian Malaysia ditandatangani di London pada 9 Julaai 1963. Antara isi kandungan Laporan JAK ialah:

  • Agama Islam adalah rasmi kecuali Sabah dan Sarawak.
  • Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Persekutuan tetapi bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi Sabah dan Sarawak.
  • Imigresen adalah hak kuasa Pusat tetapi kerajaan Sabah dan Sarawak dibenarkan mengawal imigrisennya sendiri.
  • Pendidikan adalah perkara Persekutuan tetapi sistem pendidikan Sabah dan Sarawak dikekalkan.
  • Perwakilan Parlimen, JAK memperuntukan 16 kerusi Sabah, 24 kerusi Sarawak dan 15 kerusi kepada Singapura.

Referendum Singapura

Kerajaan Singapura membuat keputusan untuk mengadakan Referendum sebagai satu cara meninjau pendapat penduduk Singapura bagi mendapat kepastian pendirian rakyat Singapura berhubung penubuhan Malaysia. Secara keseluruhannya, pungutan suara bukan bertujuan untuk membenarkan rakyat Singapura menolak  penubuhan Malaysia, tetapi menerima cadangan ini dengan pendirian mereka yang tertentu. Kerajaan Singapura membuat keputusan ini kerana yakin sebahagian besar parti politik di Singapura menyokong cadangan Malaysia. Cuma pandangan dan pendirian mereka juga diambil kira dalam pungutan suara ini rakyat Singapura telah diberi 3 pilihan iaitu;-

  • Pilihan A- rakyat bersetuju untuk bergabung dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh kerajaan Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu melalui Kertas Putih pada bulan November 1961 (secara keseluruhan, pilihan ini mendapat 397 626 undi)
  • Pilihan B- rakyat bersetuju untuk bergabung tanpa syarat dan edudukan Singapura akan menjadi seperti negeri- negeri Melayu lain di dalam Persekutuan Tanah Melayu (secara keseluruhannya, pilihan ini mendapat 9442 undi).
  • Pilihan C- rakyat bersetuju untuk bergabung dengan syarat dan faedah yang hampir sama seperti yang diperolehi wilayah-wilayah Borneo dengan penyertaan ini (secara keseluruhannya, pilihan ini mendapat 144 077 undi).

Referendum Singapura ini telah diadakan pada 1 November 1962. Barisan Sosialis dan pihak komunis tidak bersetuju dengan penggabungan ini telah memulau pungutan suara dengan membuang undi kosong. Selepas referendum selesai, laporan menunjukkan 71% pengundi menyokong pembentukan Malaysia. Secara keseluruhannya, rakyat Singapura bersetuju dengan pilihan A.



Pengisytiharan Malaysia

Penubuhan Malaysia mendapat tentangan kuat daripada Filipina dan Indonesia. Beberapa rundingan telah diadakan antara kedua-dua negara dengan Tanah Melayu. Rundingan ini diadakan pada :

  • Bulan Mei 1963 dengan Subandrio, Menteri Luar Negara Indonesia di Tokyo.
  • Bulan Julai dan Ogos 1963 dengan Presiden Sukarno dan Presiden Macapagal di Manila.
       Filipina menentang gagasan Malaysia kerana mendakwa Sabah dipajak dan bukan diserahkan oleh Sultan Sulu kepada Baron Von Overbeck dan Alfred Dent pada tahun 1874 dan pajakan itu telah dibatalkan oleh waris Sultan Sulu pada tahun 1958. Manakala, Indonesia menentang gagasan Malaysia kerana mendakwa Pembentukan Malaysia sebagai satu bentuk penjajahan baru yang mengancam Indonesia dibawah pimpinan D.N. Aidit.
           Namun akhirnya, MAPHILINDO ditubuhkan. Pemimpin ketiga-tiga negeri bersetuju meminta Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk meninjau kembali pandangan penduduk Sabah dan Sarawak mengenai penyertaan mereka ke Malaysia. Suruhanjaya PBB yang diketuai oleh Lawrence MicHaelmore menjalankan tugasnya dari 16 Ogos - 5 Septermber 1963. Antara isi laporannya ialah :
  • Kebanyakan penduduk Sabah dan Sarawak bersetuju menyertai Persekutuan Malaysia.
  • Laporan Suruhanjaya Cobbold adalah benar.
          Oleh itu, tarikh penubuhan Malaysia pada 31 Ogos 1963 terpaksa ditundakan. Mengikut laporan PBB itu, lebih 70% daripada rakyat Sabah dan Sarawak menyokong penubuhan Malaysia. Maka pada 16 September 1963, Penubuhan Malaysia diisytiharkan secara rasminya.

Kejayaan yang dicapai

Ekonomi

Dasar dan strategi ke arah mewujudkan pembangunan ekonomi seimbang di Malaysia telah lama diberi penekanan. Setelah lebih 50 tahun mencapai kemerdekaan, kesan penjajahan British ke atas Tanah Melayu yang mewujudkan keadaan dualisme ekonomi dari segi wilayah dan kelompok etnik masih tetap dirasai. Sejak beberapa dekad yang lalu ekonomi Malaysia mengalami perkembangan yang pesat. Kadar pertumbuhan ekonomi tinggi yang dicapai menjadikan Malaysia antara negara yang terbaik prestasinya di rantau ASEAN. Dasar-dasar pembangunan negara telah diperkenalkan untuk memastikan Malaysia menjadi negara yang benar-benar maju dan makmur. Antara dasar yang diperkenalkan ialah Dasar Ekonomi Baru(DEB).
Dasar Ekonomi Baru (DEB) merupakan satu kejuruteraan sosial (social engineering) yang digubal bagi mengurangkan ketidakseimbangan sosioekonomi antara kaum dan wilayah. Dalam proses tersebut, kadar kemiskinan dan ketidakseimbangan yang ketara dalam pendapatan, gunatenaga dan pemilikan modal saham di kalangan kaum dapat dikurangkan dan seterusnya membantu merapatkan jurang antara kaum di negara ini. Falsafah asas DEB adalah pembangunan dengan pengagihan saksama yang merangkumi matlamat pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat. Ia bertindak sebagai satu dasar kejuruteraan sosial untuk memperbaiki ketidakseimbangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Dalam usaha merealisasikan matlamat 'serampang dua mata' dalam DEB, pelbagai rancangan dan pembangunan diimplimentasikan oleh kerajaan ke arah melahirkan golongan usahawan di kalangan bumiputera Melayu sebagai citra dan ikon kepada golongan 'Malay middle class' setanding dengan masyarakat bukan Melayu yang telah lama menguasai sektor perdagangan dan perindustrian negara. Hal ini penting dalam usaha kerajaan untuk merealisasikan perpaduan kaum dari sudut ekonomi dan sekali gus mengurangkan jurang ekonomi antara kaum.

Pada dasarnya, pertumbuhan Malaysia adalah bergantung kepada eksport bahan elektronik seperti cip komputer dan sebagainya. Akibatnya, Malaysia merasai tekanan hebat semasa kegawatan ekonomi pada 1998 dan kemerosotan dalam sektor teknologi maklumat pada tahun 2001. KDNK pada tahun 2001 hanya meningkat sebanyak 0.3% disebabkan pengurangan 11% dalam bilangan eksport tetapi pakej perangsang fiskal yang besar telah mengurangkan kesan gawat tersebut. Malaysia mempunyai persekitaran makroekonomi yang stabil (di mana kadar inflasi dan kadar pengangguran kekal di bawah 3% ), simpanan pertukaran wang asing yang sihat dan hutang luar yang kecil. Ini membolehkan Malaysia untuk tidak lagi mengalami krisis yang sama seperti Krisis Kewangan Asia pada 1997.

Industri

      Tidak dapat dinafikan bahawa bidang perusahaan automobil merupakan mercu kecemerlangan dalam mencapai kejayaan Malaysia. Kejayaan ini telah menandakan bahawa negara Malaysia berupaya mengeluarkan kereta sendiri setanding kereta asing. Di Malaysia, terdapat dua buah syarikat yang menghasilkan kereta nasional iaitu Syarikat Holdings Bhd (PROTON) dan Syarikat Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA). Teknologi industri berat yang diusahakan oleh rakyat Malaysia ini membolehkan kereta nasioanal dieksport ke luar negara seperti Australia, Singapura, United Kingdom dan sebagainya. Perusahaan ini secara tidak langsung telah dapat meningkatkan pendapatan negara kita. Tegasnya, bidang automobil negara menjadi salah satu mercu kejayaan negara.

Pembangunan Politik

          Pembinaan negara bangsa merupakan matlamat utama pembangunan politik iaitu satu wilayah yang mempunyai sempadan, pemerintahan atau kerajaan dan wargenegara atau bangsa. Pembinaan negara bangsa pula dapat dicapai melalui pelbagai pendekatan, termasuk penerapan dasar awam yang digubal oleh kerajaan dan pemupukan semangat nasionalisme melalui simbol dan ritual negara seperti lagu kebangsaan, bendera kebangsaan dan perayaan hari kemerdekaan. Usaha mewujudkan negara bangsa bukan suatu yang mudah kerana terdapat pelbagai faktor perlu diambil kira. Antaranya merangkumi aspek kesan penjajahan, kepelbagaian suku etnik, gabungan wilayah dan gabungan kerajaan. Kewujudan parti politik, perlimen, perlembagaan negara dan pilihan raya merupakan komponen atau kriteria penting untuk menentukan kewujudan amalan demokrasi di negara ini.

Pembangunan

        Selain itu, kejayaan Malaysia turut dapat dilihat melalui pembinaan bangunan yang menjadi kebanggaan negara. Pembangunan negara yang bergerak pantas bagai belut diketil ekor dapat dilihat melalui pembinaan bangunan-bangunan yang tinggi terutamanya di ibu kota metropolitan, Kuala Lumpur. Pembinaan bangunan pencakar langit seperti Menara Kuala Lumpur dan Menara Berkembar PETRONAS merupakan bangunan mercu tanda kemajuan negara di Malaysia. Kedua-dua bangunan tersebut terletak di Kuala Lumpur. Ciri-ciri istimewa kedua-dua menara ini telah menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan menarik banyak pelancong asing melancong ke negara Malaysia sepanjang tahun. Pendek kata, pembinaan bangunan yang tersergam gah telah membuktikan kejayaan negara tercapai.

Pengangkutan

      Kemajuan dalam bidang pengangkutan dan perhubungan juga menempa nama Malaysia di seantero dunia. Di Malaysia, terdapat sistem pengangkutan yang terkenal seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sistem Transit Ringan (LRT), KTM, PUTRA, monorel, Lebuh Raya Utara-Selatan dan Terowong SMART. KLIA ialah lapangan terbesar di negara Malaysia dan merupakan salah satu penerbangan yang terpenting di rantau Asia Tenggara. Selain itu, sistem pengangkutan seperti Sistem Transit Ringan (LRT), KTM, monorel dan PUTRA dapat menjimatkan masa, wang dan tenaga kepada pengguna dan pelancong asing menuju ke destinasi mereka. Perkembangan teknologi yang semakin canggih membolehkan Terowong SMART dibina untuk menyelesaikan masalah banjir kilat di Kuala Lumpur. Ringkasnya, kecanggihan sistem pengangkutan dan perhubungan negara turut menjadi kayu ukur kejayaan negara pada alaf ini.

Teknologi

         Malaysia juga melangkah maju ke era teknologi angkasa lepas apabila kita berjaya melancarkan dua satelit Malaysia Asia Timur iaitu MEASAT I dan MEASAT II. Pelancaran satelit ini menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara ASEAN yang  mempunyai satelit angkasanya sendiri. Bukan itu sahaja, program penghantaran angkasawan negara yang pertama iaitu Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha telah berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia. Program ini telah menjadi pemangkin kepada seluruh rakyat Malaysia untuk belajar mata pelajaran sains dan teknologi. Melalui program tersebut, pelajar sekolah dapat menimba ilmu sains tentang angkasawan dan memupuk minat mereka untuk menceburi dalam bidang angkasawan sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sesungguhnya, penerokaan negara dalam bidang angkasa lepas juga merupakan salah satu kejayaan negara yang patut dibanggakan.

Bidang Sukan

          Kejayaan negara yang seterusnya ialah kejayaan dalam bidang sukan. Sukan negara semakin rancak apabila banyak atlet negara yang berjuang bermati-matian untuk mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa. Pemain sukan wanita yang terkenal di Malaysia ialah ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David. Kini Datuk Nicol merupakan pemain skuasy wanita nombor satu di dunia. Selain bidang skuasy, nama pemain badminton di Malaysia juga dikenalkan di dunia, khasnya Datuk Lee Chong Wei. Datuk Lee Chong Wei merupakan seorang pemain badminton profesional di Malaysia. Beliau selalu menyertai pertandingan badminton di dalam atau di luar negara Malaysia dengan keputusan yang cemerlang. Jadi, izharlah bahawa peningkatan pencapaian yang cemerlang oleh atlet-atlet negara berjaya menempa nama Malaysia di seantero dunia.



Penutup

            Kesimpulannya, Pembentukan Malaysia telah melahirkan sebuah negara yang disegani dan disanjungi oleh negara lain. Malaysia merupakan sebuah negara yang maju dan telah mencapai kejayaan luar biasa dalam pelbagai bidang. Kejayaan-kejayaan luar biasa yang dicapai selama ini telah mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa. Kita sepatutnya menghargai dan memperingati pengorbanan yang telah dilakukan untuk mempertahankan Tanah Melayu atau Malaysia daripada penjajah asing. Kitalah yang akan menncorakkan masa hadapan negara kita untuk satu jangka masa yang panjang kerana kita adalah pelapis bagi generasi sekarang. Pembentukan Tanah Melayu dan kejayaan kemerdekaan itu adalah hasil usaha penyatuan tiga kaum uataama iaitu Meelayu, Cina dan India berdasarkan tolak ansur sesama mereka. Atas dasar kesepakatan inilah juga yang memberi asas yang kukuh dalam pembentukan Malaysia. Dengan itu, rakyat Malaysia perlu berusaha gigih, bangga dan memberikan sokongan sepenuhnya kepada pelbagai pihak untuk memajukan negaradalam pelbagai bidang dan berharap agar kejayaan luar biasa ini juga dapat membangkitkan semangat rakyat Malaysia agar lebih berani untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa maju lain di dunia.

Rujukan

Buku

  1. En. Amran bin Idris, En. Ismail bin Kosman, Tuan Hj. Md. Lasa bin Yahya (2012). Pengajian Am STPM, 17. Percetakan Tatt Sdn Bhd.
  2. Wang Hong Kong, Mohammed bin Hashim, Goh Xuan Hui (2012), Teks STPM Pengajian Am, 42. Penerbitan Pelangi Sdn Bhd.
Internet
  1. http://zar4art.blogspot.com/2014/09/pembentukan-malaysia.html
  2. http://kamianakmalaysia1992.blogspot.com/2013/09/faktor-pembentukan-malaysia-1963.html
  3. http://koleksitugasan.blogspot.com/2012/04/pengajian-malaysia-proses-pembentukan.html
  4. http://www.slideshare.net/azah83my/pm-bab-6-pembentukan-malaysia
  5. http://e-panitiasejarahsmkdpb-kluster.blogspot.com/2013 05 01 archive.html
  6. http://thenotejots.blogspot.com/2010/12/2-faktor-yang-telah-menyumbang.html
  7. http://www.malaysiancoin.com/2013/09/sejarah-penubuhan-malaysia-1963.video.html
  8. http://putranamza.blogspot.com/2012/01/kaitan-antara-pembangunan-ekonomi.html
  9. http://kelapamawar.blogspot.com/2012/05/asal-usul-pembentukan-malaysia-dan-20.html